Pages

Renungan Bersama...

Posted by Syahmi Senvorra | Posted in | Posted on 3:42 AM



Satu daripada manifestasi iman yang penting ialah
menjauhi dosa-dosa. Ia lambang kekukuhan iman.
"Jauhilah perbuatan haram niscaya kamu menjadi orang
yang paling kuat beribadah."

(Hadis - Abu Ya'la)

Dalam beribadah, meninggalkan dosa (manhiyyat) adalah
amal yang paling utama.Inilah perkara yang amat
ditekankan oleh ulama-ulama.


Imam Hasan al-Basri pula telah berkata:
"Ibadah yang paling utama dilakukan oleh seseorang
ialah meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh
Allah."

Biasanya, suruhan agama lebih mudah dilakukan daripada
meninggalkan larangannya. Justeru itu kita mudah
bertemu dengan orang yang berpuasa tetapi masih
bermaksiat. Mampu mengeluarkan sedekah dalam
perjalanan ke kasino untuk memuaskan nafsu.
Bersembahyang tetapi rajin mengumpat atau tidak
menutup aurat. Sentiasa memegang tasbih
untuk berzikir tetapi mengabaikan pembayaran hutang
kepada orang lain.

Orang yang mantap kefahamannya tentang agama
mengetahui bahawa meninggalkan kemungkaran dan dosa,
walaupun nampaknya kecil, teramat penting dalam
usaha mendekatkan diri kepada Allah.

Maimun ibn Mahran telah berkata:
"Berzikrullah dengan lisan adalah baik, tetapi yang
lebih baik ialah mengingati Allah dengan menghindari
perbuatan maksiat."

Berkata Imam Sufyan at-Thauri:
"Barangsiapa membelanjakan wang haram pada mentaati
Allah, perbuatannya adalah seperti seseorang yang cuba
membersihkan kain yang bernajis dengan
menggunakan air kencing."


Sesungguhnya manusia tidak maksum. Insan ada
kelemahannya. Kelemahan ini bukannya alasan untuk
berterusan melakukan dosa, sebaliknya untuk lebih
berhati-hati dan berjaga-jaga. Pintu taubah sentiasa
terbuka. Hadis ada menceritakan tentang seorang dari
Bani Israil yang telah membunuh 100 orang, kemudian
insaf dan bertaubat. Allah terima taubatnya.

Comments (0)

Post a Comment